Isu #Jais: Hentikan buat kenyataan provokatif - #bersih #bersih2 #bersihstories #eo6


KUALA LUMPUR, 5 Ogos: Semua pihak diseru supaya tidak membuat  sebarang kenyataan provokatif mengenai isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu majlis makan malam muhibah Gereja Methodist Damansara Utama yang didakwa kononnya bertujuan memurtadkan orang Melayu.

Ia juga perlu bagi menghormati bulan Ramadan daripada bercakap bohong dan menimbulkan fitnah, kata Ahli Parlimen PAS Parit Buntar Dr Muhajid Yusof Rawa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Muhajid melahirkan rasa bimbang isu Jais ini akan memburukkan keadaan hubungan antara agama di negara ini yang semakin tegang masa kini.

“Kegagalan kerajaan menangani isu kalimah Allah tempoh hari berpotensi menimbulkan satu polemik baru pula.

"Semua pihak turut bimbang dengan adanya pulak pihak yang ingin ambil kesempatan utk kepentingan politik sempit mereka. Memburukkan lagi situasi ialah apabila media diperalatkan untuk menimbulkan provokasi dari kenyataan puak rasis dan fanatik agama,” kata beliau.

Dua hari lepas, kira-kira 30 anggota pihak berkuasa Jais dan polis telah memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama pada jam 10 malam semasa satu majlis makan malan muhibbah diadakan.

Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum yang turut dihadiri 15 orang Melayu Islam.

Setelah menerima kritikan hebat, Exco Kerajaan Negeri Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali menjelaskan bahawa serbuan itu dibuat kerana pihak Jais menerima maklumat ada usaha mahu memurtadkan umat Islam.

Namun sehingga kini, tidak dapat disahihkan apa bukti yang diterima pihak berkuasa terbabit.

Disebabkan itu, Muhajid, yang juga Pengerusi Jaringan Antara Agama Asia Tenggara turut menyeru Jais untuk memberikan penjelasan secara jujur motif tindakan mereka kerana ini melibatkan premis ibadat agama Kristian yang mesti dihormati.

“Ada beberapa isu yang perlu diberi penjelasan. Atas alasan apakah serbuan dibuat? Adakah waren dikeluarkan? Apakah sebenarnya berlaku dalam gereja tersebut?

"Kekaburan tindakan dan penjelasan yang tidak memuaskan hanya akan memberi ruang hubungan antara agama semakin meruncing dan sekaligus menimbulkan ketegangan kaum,” tambah beliau.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata pihak kerajaan negeri akan mendapatkan nasihat DYMM Sultan Selangor sebelum mengambil tindakan seterusnya setelah menerima laporan Jais.

"Sebaik menerima laporan Jais saya akan mengadap DYMM Tuanku Sultan untuk mendapat nasihat dalam menyelesaikan isu ini serta memastikan perkara sebegini tidak akan berlaku lagi," kata Khalid.

Khalid turut melarang semua ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco)  Selangor dari membuat sebarang kenyataan berkenaan isu ini dan menyeru rakyat meneruskan semangat keharmonian, hormat menghormati dan tolerasi antara  agama yang telah wujud sejak sekian lama di negara ini.

"Seperti yang kami katakan semalam kami kesal dengan kejadian tersebut. Kerajaan Negeri yakin rakyat Selangor tidak rasa terbela dengan kejadian tersebut.

"Niat dan tujuan yang baik tidak menghalalkan perbuatan yang gagal mempamerkan keadilan dan kebijaksanaan dalam memimpin masyarakat," kata beliau lagi.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Samad berkata, pihaknya akan bertemu dengan Hasan Ali dan pihak Jais bagi mendapatkan penjelasan mereka.
"PAS Selangor tunggu laporan Jais dan akan bermesyuarat dengan Hasan Ali untuk penjelasan lanjut mengenai hal ini," katanya pada sidang media di pejabat ahli Parlimen Shah Alam, dekat sini hari ini.

Comments

Popular Posts