TEMERLOH, 5 Ogos:
Sebelum meneruskan debat mengenai isu Jabatan Agama Islam Selangor
(Jais) menyiasat majlis makan malam muhibah Gereja Methodist Damansara
Utama yang didakwa kononnya bertujuan memurtadkan sekumpulan orang
Islam, diharap para pembaca dapat meneliti cerita pengalaman Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man (gambar) di bawah terlebih dahulu.
“Ini adalah cerita sebenar daripada pengalaman saya yang sikit ini.
Semasa saya bekerja di UiTM dahulu, satu hari ketika berjumpa dengan
kawan di sebuah restoran Melayu di sekitar kawasan kampus untuk
membincangkan sesuatu saya telah memesan jus oren. Semasa air buah
dihidangkan, tauke yang menyediakan air buah tersebut dalam satu cawan
gelas yang ada jenama arak bermula huruf “G”. Saya memintanya dengan
baik untuk menukarkan gelas tersebut.
“Bos, air ini halal, tapi gelasnya… akan mengundang syak wasangka dan
fitnah daripada pelajar-pelajar saya dan juga kepada kedai,” kata saya.
Terdapat 2 pengajaran di sebalik peristiwa ini. Manusia seperti
biasa mempunyai sangka buruk – apabila mereka ternampak saya meminum
daripada gelas arak, kebanyakan pelajar, terutamanya pelajar Islam yang
tidak mengenal arak, akan mempunyai syak wasangka bahawa sememangnya air
dalam gelas itu ialah arak walaupun ia warna oren di sebuah restoran
Melayu. Dan tauke pula akan dilihat sebagai sebagai peniaga yang tidak
bertanggungjawab kerana sanggup menjual arak.
Pengajaran 1: Janganlah mereka terlalu cepat mempercayai fitnah tanpa siasatan terlebih dahulu.
Adakah saya bersalah sekiranya saya minum dari gelas arak tersebut?
Saya tidak boleh salahkan orang yang menyangka saya minum arak
daripada gelas tersebut, lebih-lebih lagi gelas yang saya pegang itu
ialah gelas arak walaupun dalamnya jus buah oren.
Sudah tentunya ya, kerana saya telah melakukan sesuatu yang boleh
menimbulkan fitnah terhadap saya walaupun air yang diminum itu halal
dari gelas yang bersih.
Pengajaran 2: Janganlah kita melakukan sesuatu benda yang boleh
mengundang fitnah Kesimpulannya, manusia digalakkan bersangka baik
terhadap sesama sendiri dan juga cuba elakkan diri daripada melakukan
sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah.
Dalam reaksinya terhadap isu Jais hari ini, Tuan Ibrahim, yang juga
Ketua Penerangan PAS Pusat berkata isu tersebut menjadi polemik besar
akibat dua perkara – ‘mudah mempercayai fitnah’ dan ‘melakukan
perkara-perkara yang mengundang fitnah’.
Di dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim menasihatkan agar pihak Jais,
dalam kesungguhan mereka mencegah kemungkaran agama Islam, pihak
jabatan agama juga harus sentiasa beringat untuk mesti mengelak sebarang
elemen buruk dalam melaksanakan peraturan yang ada, kerana yang akan
terjejas dalam tindakan tersebut ialah kerajaan negeri dan Jais sendiri,
lebih-lebih lagi ia turut memberikan kesan terhadap nama baik Islam.
“Dalam melaksanakan peraturan yang ada, kita mesti mengelak sebarang
eleman buruk, kerana yang akan terjejas dalam tindakan tersebut ialah
kerajaan negeri dan Jais sendiri, lebih-lebih lagi ia turut memberikan
kesan terhadap nama baik Islam,” kata beliau.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang juga menasihatkan agar Jais,
sebagai sebuah badan pengawal agama harus bertindak mengikut lunas
peraturan dan prosedur yang ada.
“Keghairahan mencegah kemungkaran tidak seharusnya dilihat sebagai
campurtangan terhadap agama lain, dan di waktu yang sama, usaha elemen
pencegahan mesti diteruskan.
Dalam kes tersebut, jika pihak Jais telah bertindak berdasarkan
maklumat yang dia perolehi, maka tindakannya adalah tepat; namun yang
mendukacitakan ialah kesahihan maklumat yang diterima Jais tidak dapat
dipastikan.
Sebagai jabatan agama, mereka harus lebih berwaspada sama ada berita
atau maklumat yang diterima adalah hanya berpunca daripada sangka buruk
akibat iklim politik negara yang semakin buruk sebelum bertindak,”
tambah beliau.
Beliau turut menyeru Jais untuk memastikan siasatannya dilakukan
dengan penuh ketelusan, dan setiap laporan untuk tindakan mesti mengikut
prosedur dan disahkan dahulu maklumat yang diterima.
“Dan kepada orang-orang Islam yang berada di majlis tersebut, mereka
juga kena muhasabah diri sama ada mereka telah menimbulkan sangka buruk
dan fitnah terhadap majlis dan gereja tersebut seperti cerita saya di
atas.
“Diharapkan Jais dapat tampil ke depan untuk menjelaskan keadaan
sebenar dan hasil siasatan untuk mengelakkan fitnah terhadap gereja,
kerajaan Selangor, nama baik Islam dan Jais sendiri berkeliaran di bulan
Ramadhan yang mulia ini. Mohon maaflah sekiranya tersilap.
“Sememangnya Islam melarang kita melakukan fitnah terhadap sesuatu
perkara, tetapi di waktu yang sama jangan kita melakukan sesuatu yang
boleh mengundang fitnah,” nasihat beliau. |
Comments
Post a Comment