Pages

Friday, August 5, 2011

Jangan buat kesimpulan melulu - jais

KUALA LUMPUR, 5 Ogos: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Cawangan Negeri Selangor menggesa semua pihak tidak membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada mana-mana pihak berhubung pemeriksaan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Yang Dipertuanya, Khairun Abas berkata, pihaknya memandang serius berita berkenaan.
Pemeriksaan tersebut dimaklumkan oleh pihak berkuasa hasil daripada laporan terdapatnya unsur-unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan dalam artikel 11(4).

Dalam laporan awal yang dikeluarkan pihak Jais terdapat beberapa individu muslim menyertai majlis  tersebut dan ia melanggar Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.
“Abim menggesa semua pihak sewajibnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan telus dan mencari kebenaran di atas peristiwa yang telah berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, Abim Selangor merasakan bahawa itulah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warga Malaysia dalam mana-mana pertikaian yang wujud.
Menurutnya, mengambil pendekatan popular apatah lagi kesimpulan yang sempit terutamanya dalam hal-hal yang sangat rapuh seperti itu amat berlawanan dengan semangat kerukunan hidup dalam kepelbagaian masyarakat.
Beliau berkata, setiap institusi penguatkuasa yang wujud perlu dihormati selama mana mereka melaksanakan tugas yang diperuntukkan berlandaskan undang-undang.
Tambahnya, Abim Selangor juga berkeyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Justeru, ujarnya sebarang tekanan dan campur tangan di luar skop perundangan dibimbangi akan menjejaskan proses siasatan dan usaha-usaha mencari fakta dan kebenaran dalam hal ini.
“Pihak Abim Selangor juga kesal laporan akhbar yang membangkitkan kembali isu-isu penggunaan kalimah Allah, pengeboman gereja, sekatan Injil Bahasa Melayu yang mana ianya seolah-olah membangkitkan kembali rasa ketidakselesaan beragama yang telah kita nikmati selama ini,” ujarnya.
Katanya, Abim Selangor juga percaya sekiranya semua pihak bersikap tidak prejudis, terbuka dan yakin dengan proses perundangan sedia ada maka sebarang masalah mampu diatasi  dan keharmonian hidup beragama yang dinikmati selama ini dipertahankan.

2 comments:

  1. “Pihak Abim Selangor juga kesal laporan akhbar yang membangkitkan kembali isu-isu penggunaan kalimah Allah, pengeboman gereja, sekatan Injil Bahasa Melayu yang mana ianya seolah-olah membangkitkan kembali rasa ketidakselesaan beragama yang telah kita nikmati selama ini,” <-- ada pihak yg BODOH SANGAT! SENGAJA MAU MENGHANCURKAN! SENGAJA MAU KUCAR KACIRKAN....

    ReplyDelete
  2. ni mesti ada unsur POLITIK!

    ReplyDelete