SHAH ALAM, 5 Ogos:
PAS Selangor akan membuat laporan polis petang ini berhubung dakwaan
Penduduk Tetap (PR) yang memegang kad pengenalan merah didaftarkan
sebagai pengundi.
Sepanjang tempoh bantahan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi
suku ke-2 tahun 2011 yang tamat pada 2 Julai lalu, PAS Selangor mengesan
seramai 1,108 PR berdaftar sebagai pengundi.
Jumlah ini daripada 1,860 nama yang dibantah atas pelbagai sebab.
Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) berbohong kononnya nama-nama tersebut tidak
dikemaskini oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"SPR kata guna Agency Link Up System (Alis) dengan JPN tapi kalau
dalam JPN tak ada nama-nama ini sebagai pemegang kad pengenalan biru,
bagaimana mereka boleh didaftar sebagai pengundi?" soalnya pada sidang
media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor
mengesan nama-nama tersebut pada 1 Julai namun terkejut apabila
mendapati kesemua mereka di dalam rekod JPN telah bertukar status
sebagai warganegara keesokan harinya.
"Kenapa pemegang kad pengenalan merah boleh bertukar kepada biru dalam masa kurang daripada 24 jam?" Soalnya lagi.
Beliau juga kesal dengan pihak polis yang belum menyatakan hasil
siasatan terhadap laporan yang dibuat berhubung warga Indonesia dan
Kemboja diberi kad pengenalan dan borang daftar pemilih yang berlaku di
Dun Paya Jaras dalam Parlimen Subang.
Menurutnya, pihaknya menangkap seorang penduduk luar Selangor yang
ditemui sedang mengedarkan kad pengenalan dan borang kepada sekumpulan
warga Indonesia dalam sebuah rumah pada tengah malam.
Satu kes lagi ialah individu yang datang dari Johor mengedarkan kad pengenalan kepada rakyat Kemboja.
Kedua-dua kes ini berlaku pada Februari lalu manakala sekitar akhir
bulan lalu,pihaknya mendapati warga asing mengambil kad pengenalan di
Kuala Selangor.
"Kita sudah buat laporan polis tapi masih belum ada tindakan yang
diambil dan kita tidak tahu kes ini disiasat atau tidak," katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata perkara
itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan negara
dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat negara ini.
"Jika kerakyatan sedang digadai untuk kemenangan BN, ini satu pengkhianatan yang sangat teruk.
"Bagi negara demokrasi, orang yang melakukan kerja ini boleh dihulum
dengan hukuman berat," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III. |
Comments
Post a Comment