KUALA LUMPUR, 7 Ogos:
PAS akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Negeri
Selangor (Jais) dan pihak gereja bagi mendapatkan penjelasan mengenai
serbuan Jais ke atas Gereja Methodist, Damansara Utama, minggu lalu.
Presiden
PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan
mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong atau menyalahkan mana-mana
pihak sebelum mendapat penjelasan terperinci berhubung perkara ini.
"PAS akan berjumpa secara langsung dengan Jais dan pihak gereja apabila mereka memberikan tarikh.
"PAS
mesti mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkenaan dan tidak
timbul kenyataan sokong mana-mana pihak," kata beliau pada sidang media
selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa pusat di Ibu Pejabat
PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.
Beliau menyatakan
demikian sebagai mengulas tindakan Jais melakukan pemeriksaan terhadap
Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru
ini.
Katanya, PAS akan berhubung dengan pihak Jais dan gereja
mengikut tarikh yang sesuai untuk mendapat gambaran dan penjelasan
langsung mengenai pemeriksaan tersebut.
“Selepas jumpa, baru buat keputusan,” ujarnya.
PAS,
jelasnya menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk
tindakan selanjutnya berhubung pemeriksaan Jais itu.
Puas hati penjelasan Hassan Ali
Minggu lalu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan Jais itu.
Ditanya
pendirian PAS terhadap Dr Hassan, Ustaz Hadi berkata parti telah
mendengar penjelasan beliau dalam mesyuarat dan berpuas hati dengan
penjelasannya.
"Kita tak bincang apa-apa ketetapan pun terhadap
Dr Hassan dan beliau datang hari ini kerana menghadiri mesyuarat ajk,
bukan kerana dipanggil," jelas beliau.
Beliau turut mendakwa isu
ini sengaja dibesar-besarkan untuk menutup isu penduduk tetap (PR)
diberi kad pengenalan biru dan didaftarkan sebagai pengundi untuk
pilihan raya umum ke-13.
"Kita tahu isu ini sengaja ditimbulkan untuk menenggelamkan isu pemberian kad pengenalan (biru) kepada penduduk tetap.
"Tapi PAS akan terus turun ke medan bagi mendapatkan penjelasan kedua-dua pihak," katanya.
Sementara
itu Ustaz Hadi memberitahu mesyuarat hari ini tertumpu kepada persiapan
PRU ke-13 khususnya mengenai isu pembersihan dalam sistem pilihan raya.
"PAS bincang tentang PRU walaupun tarikh pilihan raya masih menjadi teka-teki.
"Daftar pemilih masih tidak bersih dan kita mahu daftar pemilih dibersihkan segera," katanya. |
Comments
Post a Comment