KUALA LUMPUR, 6 Ogos:
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) optimis menemui jalan penyelesaian
terbaik berhubung kes mahasiswa Malaysia di Mesir yang dibuang
universiti kerana menganjurkan himpunan Bersih 2.0 di sana.
Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia
(Juham) DPPM, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, pertemuan dengan
pihak kedutaan Malaysia di Mesir menampakkan kejayaan awal.
Beliau bersama ketua DPPM, Nasrudin Hassan ke Mesir 2 Ogos lalu
bertemu dengan Duta Malaysia di Mesir, Profesor Madya Dr Fakhruddin
Abdul Mukhti dan pegawai pendidikan Malaysia di sana bagi membincangkan
kes tersebut.
"Hasil pertemuan kita berjaya menyelesaikan banyak perkara dan pihak
kedutaan sendiri berjanji akan menyelesaikan kes ini dengan pihak
universiti Al-Azhar," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS,
Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.
Selain Firdaus, kira-kira 40 pelajar universiti tersebut turut
diambil tindakan ditarik biasiswa kerana terlibat dengan perhimpunan
Bersih 2.0.
Zamri berkata, perkara tersebut amat dikesali kerana seperti
diketahui umum, perhimpunan Bersih 2.0 adalah 'halal' di luar negara.
Mereka hanya berhimpun secara aman secara aman kira-kira 15 minit
dengan mengutip tandatangan pelajar menyokong lapan tuntutan Bersih 2.0.
"Firdaus dibuang dari universiti tanpa notis dan hanya mengetahui dia
dibuang apabila tidak dibenarkan mengambil peperiksaan akhir.
Tambahnya DPPM tidak menolak kemungkinan tindakan ini dilakukan pihak
universiti kerana dipengaruhi pihak yang pro Umno BN di sana.
"Ini sangat tidak wajar kerana pelajar di sana tidak terikat dengan
Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), tetapi tiba-tida dibuang
hanya kerana menganjurkan himpunan.
"Kita syak ada unsur hasutan pihak yang diarahkan kerajaan Malaysia untuk memantau tindak tanduk pelajar di sana," katanya.
Jelasnya lagi, pihak kedutaan mencadangkan kesemua pelajar tersebut
membuat surat rayuan kepada pihak unversiti dan kedutaan akan mengambil
tindakan lanjut.
"Mereka berjanji akan cuba menyelesaikan perkara ini dalam masa dua minggu," katanya.
Selain itu beliau turut memberitahu, DPPM akan mencadangkan kepada
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRM) agar menubuhkan Lajnah
Guaman bagi menyeleaikan masalah pelajar Malaysia yang melibatkan
undang-undang.
"Juham akan bantu lajnah ini dalam menyelesaikan kes-kes perundangan contohnya seperti kes inilah," katanya.
Turut bersama pada sidang media tersebut ialah timbalan ketua DPPM,
Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan setiausaha Khairul Faizi Ahmad Kamil. |
Comments
Post a Comment