#SPR hilang wibawa, berdepan 3 keadaan - #bersih #bersih2 #bersihstories #eo6


KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah hilang wibawa dan tidak lagi mempunyai status layak untuk mengendali sistem pilihan raya negara, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan.
Tambahnya, terlalu banyak kepincangan dan kelemahan yang menjejaskan nilai telus dan saksama dalam pengurusan dan pengendalian sebuah pilihan raya dalam negara demokrasi seperti Malaysia.
Katanya, pendedahan demi pendedahan oleh orang ramai dan parti-parti politik yang menyertai pilihan raya tidak mampu disangkal lagi, malah ianya telah melurut jatuh seluruh uniform Pengerusi SPR dan timbalannya di hadapan umum.

“Sangat memalukan dan sungguh menjengkelkan, apabila SPR kini berdepan dengan krisis integriti,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bermula dengan pendedahan pegawai tentera yang mengaku memangkah atau mengundi bagi pihak undi pos, status pengundi yang pantas berubah dari MyPR di waktu pagi kepada MyKad di sebelah petang pada hari yang sama.
“Senarai nama pemilih yang banyak bertindih, berdaftar pula pada satu alamat dengan puluhan atau ratusan pemilih, senarai pemilih yang tiada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara tetapi ada dalam daftar pemilih SPR, senarai pemilih yang telah meninggal dunia sejak bertahun lamanya masih tersenarai dan terbaru sebuah kampung bernama Kg Baru disenaraikan sebagai pemilih dan banyak lagi dan banyak lagi dan banyak lagi,” katanya.
Ringkasnya, kata beliau negara  tidak boleh menghadapi pilihan raya berhakimkan SPR yang kini telah mengalami kecacatan parah pada nilai kepercayaan awam terhadap ketelusan dan keadilan mereka mengendalikan pilihan raya.
Tegasnya, SPR kini tiada pilihan melainkan hanya terpaksa berdepan dengan tiga keadaan iaitu Yang di-Pertuan Agong merombak Suruhanjaya Pilihan Raya yang ada pada hari ini, pengerusi dan timbalan pengerusinya meletakkan jawatan segera atau merombak keseluruhan struktur suruhanjaya itu dan membuat penstrukturan baru dengan penyertaan parti-parti politik yang bertanding serta pemerhati bebas dari peringkat antarabangsa.
“Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar salah satu pilihan di atas dikenakan kepada SPR sebelum terlambat. Tiada makna lagi pilihan raya, jika pengurusnya tidak telus dan pengadilnya tidak adil, sebelum negara kita dipersenda oleh dunia antarabangsa dan rakyat seluruhnya hilang sabar dan kepercayaannya kepada SPR,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengambil kesempatan di bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan ini, dengan satu ketetapan dan penegasan kepada semua jentera pilihan raya pemuda di peringkat negeri dan kawasan agar menganjurkan sekurang-kurangnya tiga kali Malam Munajat Pilihanraya (MMP) terutama saat meniti 10 akhir Ramadhan untuk memohon pertolongan Allah SWT menghadapi makar atau tipu helah mereka yang telah hilang rasional semata-mata mahu mengekalkan survival kuasa pemerintahan mereka lalu mengabaikan amanah dan tanggungjawab mereka untuk berlaku adil dan telus.
Tambahnya, Lajnah Keahlian dan Ulamak Pelapis mungkin boleh membantu untuk memimpin Malam Munajat Pilihan raya anjuran Jabatan Pilihanraya Pemuda di peringkat negeri dan kawasan.
“Nampaknya, hanya Allah SWT boleh mendisiplinkan SPR. KepadaNya kita bermunajat dan kepada-Nya jua kita bertawakal!” katanya.

Comments

Popular Posts