Cerita Di Sebalik Projek Pembinaan #Masjid Hiroshima

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Syukur dan puji hanya untuk Allah tuhan sekalian alam.Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah SAW, keluarga baginda, para sahabat dan orang-orang yang berjuang mengikuti jalan baginda.

Setelah hampir setahun setengah meninggalkan bumi Hiroshima dan dunia kampus di Hiroshima University, alhamdulillah, hati mengucap rasa syukur dan gembira tatkala mendapat perkhabaran bumi bertuah itu sedang semakin hampir merealisasikan impian membina masjid yang telah dirancang sejak sekian lama. Ya..sekian lama! Pertama kali menjejakkan kaki ke Saijo (sebuah pekan kecil di Higashi Hiroshima tempat berkumpulnya pelajar-pelajar universiti), kami telah diperkenalkan dengan sebuah rumah Jepun dua tingkat yang disewa oleh kumpulan pelajar muslim di Saijo untuk kegunaan aktiviti keislaman. Bandar Hiroshima, khususnya Saijo menempatkan sejumlah besar pelajar muslim dari serata dunia dengan jumlah terbesar dari Malaysia, Indonesia, Egpyt,
Bangladesh dan lain-lain. Rumah ini digelar Islamic Center atau Pusat Islam (PI) dan dijadikan pusat untuk muslim di Saijo berkumpul dan beraktiviti. Di antaranya termasuklah solat berjemaah, kelas bacaan Al-Quran (oleh orang Arab satu masa dulu), usrah untuk muslimat Malaysia, majlis bacaan Yaasin dan kuliah mingguan, tempat persinggahan dan kediaman jemaah Tabligh yang datang berkunjung ke Saijo dan lain-lain. Bagi menampung kos sewa rumah, tingkat atas disewa dan didiami oleh orang perseorangan (student Hiroshima University) dan kami hanya menggunakan ruang di tingkat bawah untuk beraktiviti. Kami membayar 500yen seorang sebulan (0.4% daripada scholar bulanan yang diterima oleh pelajar Malaysia-undergrad) untuk menampung kos sewa rumah yang dijadikan Islamic Centre ini.

Alhamdulillah, pelajar muslim di Hiroshima University (kampus Higashi Hiroshima) mendirikan solat Jumaat setiap minggu walaupun dalam keadaan yang sangat terbatas. Mereka solat di dewan dalam kawasan universiti. Namun ada ketikanya dewan tersebut gagal ditempah kerana telah diisi dengan aktiviti pelajar-pelajar Jepun. Maka mereka terpaksa solat di ruang yang lebih kecil seluas sebuah kelas dan adakalanya kerana tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai, ada yang terpaksa bersolat di luar kelas, di tepi-tepi koridor. Sulit sekali untuk mendengar bacaan solat dan khutbah dari Imam bilamana kemudahan pembasar suara juga tiada.

Sekumpulan pelajar-pelajar PHD dan Masters kerap melazimi solat jemaah hampir setiap waktu. Walaupun dalam kesibukan dan kekangan waktu membuat research sehingga ke tengah malam, saya sangat kagum melihat mereka tetap mencari ruang waktu dan berjanji sama untuk solat secara berjemaah. Kami solat zuhur di bilik yang ditempah dalam kawasan universiti setiap jam 12pm-1pm setiap hari. Namun, untuk waktu asar, maghrib dan seterusnya, kami tidak mendapat keizinan memandangkan ruang tersebut digunakan oleh pelajar Jepun untuk aktiviti kokurikulum. Maka solat jemaah dilakukan di luar bilik, di tepi koridor, satu kawasan yang agak tersorok. Pelajar Jepun yang lalu lalang sering berpaling kehairanan namun lama kelamaan ia menjadi satu kebiasaan kerana di kawasan koridor itulah 'surau' buat kami setiap hari. Terasa sungguh besarnya nikmat yang diperolehi sahabat-sahabat  di tanah air apabila dapat bersolat jemaah di masjid berkarpet tebal, berkipas dan dilengkapi pembesar suara apabila sekumpulan kecil muslim di negara asing ini 'terpaksa' mencari kekusyukan solat bersujud di atas sejadah nipis yang dihampar atas lantai koridor, berhadapan dinding kelas, di kawasan yang terbuka dan mengerah telinga mendengar bacaan imam yang kadangkala tenggelam-timbul oleh bunyi riuh-rendah di sekeliling.

Beraya di perantauan adalah satu pengalaman yang sangat beharga. Solat hari raya yang biasanya diisi takbir raya ala Malaysia yang mendayu-dayu tidak kedengaran tetapi bunyinya lebih tegas dan bersemangat. Solat hari raya tetap didirikan di sini. Tempatnya berubah-ubah. Kadangkala di sebuah dewan di JICA (Japan International Cooperation Agency) di bandar Higashi Hiroshima yang terletak agak jauh dari kediaman pelajar-pelajar universiti. Perlu menaiki kereta untuk ke sana. Ada kalanya menempah dewan dalam universiti, dan pernah juga di tahun pertama saya di sana, solat Hari Raya Aidiladha terpaksa didirikan di perkarangan blok universiti memandangkan tiada tempat boleh digunakan kerana Hari Raya pada tahun itu jatuh pada hari cuti umum.

solat hari raya aidilfitri di dewan JICA 2006

solat jemaah selepas jamuan hari raya (malaysian)

solat hari raya aidiladha 2006 di perkarangan blok fakulti kejuruteraan

Ketika berada di Saijo tahun 2006, saya difahamkan oleh senior-senior, idea pembinaan masjid ini asalnya telah dilontar oleh orang Malaysia sendiri. Segala idea, perbincangan, mesyuarat, dan tabung untuk mengumpul dana bagi membina masjid pertama di Hiroshima telah dilakukan sejak tahun 1998 lagi(orang-orang lama  di Saijo-Hiroshima mungkin boleh betulkan saya jika saya silap). Namun yang pasti, sejak saya datang ke Saijo, dana ini sedang giat dikumpul. Malah, kami pelajar-pelajar Malaysia yang bernaung di bawah Persatuan Malaysia Hiroshima (PMH) juga 'diwajibkan' untuk membayar yuran masjid sebanyak 1000yen sebulan.(0.8% daripada scholar bulanan yang diterima oleh pelajar Malaysia-undergrad). Setiap tahun wakil pengutip yuran bertukar mengikut giliran (lelaki dan perempuan), dan wakil pelajar Malaysia juga dilantik bagi mewakili negara untuk menyertai kumpulan pembinaan masjid oleh Hiroshima Muslim Association (HMA) ini. Setiap wakil pelajar bertukar-ganti setiap tahun kerana pelajar-pelajar baru datang dan pergi. Yang senior menyerah jawatan kepada junior. Ya, bekas-bekas pelajar yang menghulurkan wang setiap bulan demi merealisasikan proses pembinaan masjid pertama di Hiroshima ini telah pun pulang ke tanah air sebelum sempat mendapat peluang untuk 'melihat' sendiri masjid ini. Bekas-bekas wakil pelajar Malaysia yang berkorban masa dan tenaga untuk hadir mesyuarat, perbincangan dan perjumpaan dengan HMA telah pun berada di tanah air dan diganti pula kelansungan usaha mereka ini oleh pelajar-pelajar baru yang datang. Mereka tak dibayar gaji dan tiada sebarang imbuhan diterima. Usaha ini tidak sedikit pun mendapat reward, sijil penjawatan, dan seangkatannya. Semuanya dengan rasa amanah dan tanggungjawab serta niat suci untuk membantu memekarkan bumi asing ini cahaya Islam. Moga terdirinya sebuah masjid sebagai tempat berhimpun pelajar-pelajar muslim sebagai pusat ibadah, juga tempat untuk kegiatan Islam dan dakwah. Dengan izin Allah, siapa tahu kewujudan masjid ini juga bisa jadi asbab hidayah terbukanya hati si Jepun yang kebanyakan tidak beragama itu untuk melihat sendiri keindahan Islam.

solat hari raya aidilfitri di HU 2007

Hati berasa berasa agak sedih dan terkilan kerana ada pihak yang meragui kebenaran dan kesahihan berita tentang usaha pengumpulan dana ini. Ada juga yang meragui kejujuran wakil Malaysia yang diamanahkan untuk projek ini.(kerana sumbangan dibuat ke akaun persendirian iaitu akaun wakil Malaysia yang terlibat). Kami kenal benar dengan wakil-wakil yang dilantik dan diamahkan ini. Tanyalah kepada mereka yang pernah berada di Hiroshima sekitar tahun 2006 hingga sekarang. Mereka bukan calang-calang orang. Wakil-wakil yang dilantik dari dulu sehingga sekarang adalah pelajar-pelajar PHD dan MA, yang berkhimat di sektor kerajaan dan penjawat awam serta pensyarah di universiti tempatan. Ada juga dari kalangan pelajar undergrad, pelajar tajaan JPA. Mereka komited dengan tugas-tugas bersama persatuan Muslim di Hiroshima selain tugas sebagai pelajar.  Saya akui, sukar sekali untuk bersangka baik, sedangkan kita baru berjumpa seseorang sekali dua pun belum tentu kita kenal hati budinya. Inikan pula dengan orang yang kita lansung tak kenal. Saya bukan sesiapa untuk memberikan keyakinan dan pengesahan, tetapi atas rasa tanggungjawab dan sebagai seseorang yang pernah terlibat secara tak lansung dalam projek ini di Hiroshima satu masa dulu, saya rasa terpanggil untuk menulis note ini. Dermalah dan beri sumbangan seikhlas hati, mengikut kemampuan masing-masing. Semoga menjadi saham akhirat untuk kita. Harta yang kita ada pun semuanya bukan milik kita. Ada yang perlu kita bahagi-bahagikan untuk anak isteri, ibu-bapa, fakir miskin, orang susah, anak yatim, orang-orang yang memerlukan dan sebagainya. Pandai-pandailah kita menguruskannya mengikut syariat yang Allah dah tetapkan.

Malaysian in Hiroshima Year 2009


Akhir kata, semoga projek pembinaan masjid ini tidak berhenti di sini. Seandainya Allah SWT izinkan pembinaannya satu masa nanti, sebenarnya ada tugas yang lebih besar untuk kita lebih daripada membangunkannya; iaitu mengimarahkan/memakmurkan masjid ini sendiri. Kerana pelajar asing yang ada, bertukar-ganti datang dan pergi. Sebagai peringatan bersama, perlu difikirkan juga siapa yang akan memastikan kemakmuran masjid ini terus kekal dan dihidupkan sampai bila-bila.

layari: http://www.facebook.com/hiroshimamasjid

"wahai org yg beriman! Maukah kamu aku tunjukkan satu perdagangan yg dapat menyelamatkan kamu dari azab yg pedih?kamu beriman kepada Allah dan rasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui"...(61:10~11)

Ummu Nusrah
Hiroshima University
2006-2010

*Tulisan ini bukan rekaan dan tidak mewakili sesiapa. Ia merupakan sebahagian daripada  pengalaman penulis dan rakan-rakan sendiri ketika menuntut di HU. Sila tekan butang 'share' selepas membaca untuk memberi pencerahan kepada hati dan jiwa yang masih samar-samar dan was-was untuk menderma. Semoga Allah membalasnya dengan balasan yang sebanyak-banyaknya. Seeru A'la Barakatillah..

Comments

Popular Posts