Pages

Saturday, February 18, 2012

Maut ditetak bekas suami





Anak angkat mangsa turut diserang 

ALOR SETAR: Seorang tukang tilik wanita, maut manakala anak angkatnya parah akibat ditetak di kepala dan beberapa bahagian anggota badan oleh bekas suaminya dalam kejadian amuk di rumah mereka di Taman Saga, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, Ung Siew Lin, 46, maut selepas cedera parah akibat ditetak oleh Wong Ban Chong, 54, menggunakan parang di bahagian kepala, perut dan lengan dalam kejadian di tempat letak kereta di depan rumahnya.
Anak angkat mangsa, Chn'g Sheve Mei, 26, pula dilaporkan kritikal selepas parah akibat ditetak di kepala ketika mahu menyelamatkan diri daripada diserang suspek. 

Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang sudah tiga tahun berpisah dengan suspek, tinggal di rumah berkenaan bersama tiga anak perempuannya, Wong Chew Ying, 26; Wong Chew Shen, 22 dan Wong Chew Wei, 21 serta anak angkatnya, Sheve Mei. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata suspek dipercayai datang ke rumah bekas isterinya itu dengan memandu sebuah kereta sebelum bertindak melanggar bahagian depan rumah mangsa. 

Katanya, suspek yang berang kemudian bertindak membakar kereta Myvi milik mangsa yang diletakkan di tempat letak kereta di depan rumah itu, sebelum menyerang bekas isterinya dan empat anak perempuan mangsa. 
“Mangsa yang cedera parah selepas ditetak di bahagian perut, lengan dan kepala oleh suspek, diselamatkan orang awam sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini. 

“Anak angkat mangsa yang turut ditetak di kepala itu dihantar oleh jiran mereka ke HSB. Keadaannya dilaporkan kritikal serta ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. 

Beliau berkata, ketiga-tiga anak kandung mangsa yang turut cedera ringan dihantar ke HSB untuk menjalani rawatan sebagai pesakit luar. 

“Kita percaya kes ini bermotifkan masalah keluarga kerana suspek dikatakan sering datang ke rumah bekas isterinya sejak pasangan itu berpisah tiga tahun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment