KUALA LUMPUR, 23 Julai:
Akhbar rasmi PAS, Harakah, mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan
RM1,000 seorang kepada 6 keluarga aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM)
yang ditahan oleh pihak polis di bawah Ordinan Darurat (EO) sejak 12
hari lalu.
Sunbangan tersebut diserahkan oleh Ketua Pengarang Harakah, Ahmad
Lutfi Othman kepada Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim yang mewakili 6
keluarga tahanan terbabit.
Menurut Ahmad Lutfi, sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan
bebanan keluarga tahanan yang mengalami pelbagai kerumitan sejak mangsa
ditahan oleh pihak polis.
"Wang sumbangan tersebut adalah dari Tabung Bantuan Mangsa ISA yang
telah diujudkan oleh Harakah sejak 4 tahun lalu sumbangan ahli-ahli
PAS," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan
tersebut.
Majlis ringkas itu diadakan sempena himpunan aman dan penyerahan
memorandum kepada pihak polis bagi mendesak pihak polis membebaskan
segera 6 tahanan tersebut anjuran PSM di hadapan Ibu Pejabat Polis di
Bukit Aman, di sini, semalam
Sehingga kini, menurut Lufti, Harakah menerusi tabung tersebut telah
menghulurkan sumbangan sebanyak RM7,000 kepada beberapa keluarga mangsa
ISA bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka akibat tahanan
akta zalim itu.
"Sumbangan yang dihulurkan kepada keluarga tahanan EO pada hari ini
pula, walaupun mangsa-mangsa terbabit bukan tahanan ISA, tetapi masih
dalam skop itu juga kerana kedua-dua undang-undang itu adalah
undang-undang zalim yang menyebabkan mangsa-mangsa ditahan tanpa bicara.
"Ini bermakna, sumbangan yang dihulurkan oleh kami itu adalah
mengambil semangat ISA yang ditentang bersama oleh PAS, Pakatan Rakyat
dan rakyat di tanah air kita," katanya.
Tidak dapat dinafikan, tegasnya, keluarga mangsa EO dan ISA mengalami
pelbagai kerumitan sekiranya seseorang itu ditahan di bawah
undang-undang tersebut.
"Mereka yang terbabit pasti memerlukan bantuan dari pelbagai sudut oleh pelbagai pihak termasuk dari segi kewangan.
"Menyedari hakikat itulah, Harakah mengambil inisiatif menubuhkan
tabung itu bagi membolehkan mangsa dan keluarganya dibantu dari sudut
kewangan walaupun tidak seberapa demi membantu meringankan bebanan hidup
mereka," ujarnya.
Sempena menyambut Aidilfitri nanti, jelasnya, Harakah menerusi tabung
tersebut akan turut mengambil inisiatif untuk membantu
keluarga-keluarga mangsa yang mengalami kerumitan hidup akibat akta
tersebut.
Aziz Muda
|
Comments
Post a Comment