KUALA LUMPUR, 29 Julai:
“Sebenarnya, kenapa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak takut
hendak menggunakan celup dakwat?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris
Ahmad.
Katanya, hanya orang salah sahaja yang takut menggunakan celup dakwat yang terbukti ekonomik dan telus untuk mengatasi penipuan.
“Perlu diingatkan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib dan SPR, zaman hendak menipu rakyat sudah berlalu,” katanya.
Baginya, Najib cuba hendak mengalih isu konon pembangkang akan tolak apa sahaja yang kerajaan buat.
Tambahnya, ini dengan andaian jika kerajaan perkenal celup jari maka pembangkang akan tuntut biometrik.
Ini, ujarnya satu tuduhan yang liar dan cuba mengalih isu yang
sebenar kerana penipuan perjalanan pilihan raya semakin terserlah.
Beliau beberapa keraguan penggunaan biometrik, antaranya penggunaan
biometrik bukan boleh menyelesaikan masalah pengundian dua kali, ia
hanya hendak mengesahkan kad itu palsu atau tidak.
Ini, tegasnya bukan isu dan tuntutan Bersih.
“Apakah data di Jabatan Pendaftaran Negara dan SPR telah
dibersihkan? Berapa ribu orang yang sudah mati masih ada di dalam daftar
pemilih?” soalnya.
Apabila ditanya kepada SPR, katanya mereka menjawab kerana waris
tidak memberi surat mati menyebabkan nama di dalam daftar masih ada.
Jika zaman kecanggihan IT, SPR gagal untuk online dengan Jabatan
Pendaftaran Negara, tanya beliau apa yang hendak diharapkan senarai
pemilih yang bersih.
Beliau juga mempersoalkan apa jaminan sistem biometrik yang boleh dionline serentak dengan Jabatan Pendaftaran Negara pada hari pilihan raya.
“Adakah kemampuan, pengkalan data dapat berfungsi dengan baik?” tanya beliau lagi.
Katanya, cuba bayangkan sekarang guru-guru Kementerian Pelajaran
Malaysia yang sibuk untuk isi markah secara online mengalami masalah
kerana kelembapan server kementerian sedangkan bilangan guru lebih 500 ribu sahaja.
Justeru, ujarnya cuba bayangkan bagaimana fungsi biometrik untuk
hendak menampung keperluan pada hari pilihan raya yang hampir 10 juta
pengundi.
Beliau menambah, ada setengah jari tidak boleh dikesan melalui alat tersebut.
Soalnya, apakah itu bukan satu penganiayaan kepada rakyat yang berhak untuk mengundi.
Menurutnya, mereka akan dinafikan hak kerana alat tersebut tidak boleh diakses di jari mereka.
“Apakah mampu biometrik digunakan di kawasan pedalaman terutama Sabah
dan Sarawak yang masih tidak ada kelengkapan elektrik?” tanya beliau
lagi. |
Comments
Post a Comment