KOTA BHARU, 24 Julai: Seorang wartawan Utusan
Malaysia mengakui tidak menemui plaintif sebelum menyiarkan berita
disifatkan berunsur fitnah terhadap pemimpin PAS Perak, Mohd Misbahul
Munir Masduki.
Yuspisman Asli, 39 kini Ketua Biro Utusan Cawangan Kelantan mengakui
perkara itu ketika ditanya peguam plaintif, Mohamad Hanipa Maidin pada
perbicaraan kes saman Misbahul terhadap Datuk Khalid Mohd dan Utusan
Melayu Bhd di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.
Hanipa sebelum itu mahu kepastian sama ada wartawan berkenaan
menghubungi Misbahul atau menemui sekretariat muktamar atau pengerusi
tetap bagi mendapat kesahihan sebelum berita itu ditulis.
Mingguan Malaysia pada 3 Jun 2007 dalam laporan di muka hadapan
menggunakan tajuk “Dewan Ulama PAS ibarat tin kosong – Perwakilan”.
Berita mengenai muktamar terbabit disiarkan dengan dakwaan wakil
Perak, Misbahul Munir berkata, Dewan Ulama hanya hidup dalam kepompong
mereka sendiri dan tidak berperanan dalam usaha mencelikkan rakyat
terutamanya ketika berdepan dengan pelbagai isu melibatkan kepentingan
umat Islam.
“Kepimpinan ulama yang dicanang oleh parti PAS tidak harus hanya
menjadikan tin kosong melalui kewujudan Dewan Ulama, apabila aktiviti
mereka lebih tertumpu di surau dan markas,” katanya dalam laporan berita
tersebut.
Dalam writ samannya plaintif menyebut berita disiarkan di muka
hadapan akhbar Mingguan Malaysia itu dibuat dengan niat jahat dan
bertujuan mensensasikan berita fitnah.
Perbicaraan kes itu diadakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Khalid dan Utusan diwakili peguam Azhar Arman Ali.
Sebelum kes itu difailkan di mahkamah peguam plaintif telah
menghantar notis supaya Utusan meminta maaf bercara bertulis dalam
tempoh tujuh hari.
Defendan juga dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dalam
masa tujuh hari sebagai ganti rugi, namun pihak defendan gagal berbuat
demikian.
Oleh itu plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti
rugi melampau dan perintah menarik balik tuduhan fitnah dan ucapan minta
maaf daripada kedua-dua defendan.
Ketika prosiding pada 5 Julai lalu Misbahul memberi keterangan di mahkamah terhadap tuntutan saman tersebut.
Dalam keterangannya Misbahul memberitahu beliau tidak berucap
langsung atau menjadi pembahas pada muktamar kali ke-53 yang diadakan di
Putik, Pengkalan Chepa.
Penerbitan berita fitnah tersebut menyebabkan maruahnya tercemar
sehingga meletak dirinya di kancah kebencian dan kehinaan pada pandangan
masyarakat.
Hanipa berkata, biar pun Yulpisman menganggap berita itu sebagai
kritikan membina dalam keterangan hari ini, namun dalam berita yang
disiarkan tidak menggambarkan situasi tersebut.
Menurutnya berita berkenaan tambah hangat apabila diulas pula
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sehari selepas itu, yang
digambarkan Utusan terus mempertahankan berita tidak betul.
“Dalam kes ini plaintif telah dilihat memburukkan PAS apabila berkata, Dewan Ulama PAS ibarat ting kosong.
“Berita itu kemudian disebarkan melalui Utusan dengan edaran sehingga
400,000 naskah bertujuan bagi menarik perhatian ramai,” katanya.
Prosiding kes tersebut masing-masing menampil seorang saksi iaitu Misbahul bagi pihak plaintif dan Yuspisman (defendan).
Penghujahan kes berkenaan akan disambung pada 26 September hadapan
M Faqih
|
Comments
Post a Comment