Soalan:
ASSALAMUALAIKUM USTAZ, Saya ada sedikit kemusykilan tentang hukum
menyuntik vitamin C pada permukaan kulit wajah dengan tujuan
menghilangkan parut muka. Adakah ianya sama dengan suntikan botox?
Bagaimana pula dengan pekerja yang menyuntik vitamin tersebut? Harap
ustaz dapat memberikan penjelasan, terima kasih.
Jawapan:
Membuat
perubahan yang bersifat kekal pada badan (melalui suntikan, pembedahan
atau sebagainya), jika tujuannya adalah untuk membaiki kecacatan pada
badan (supaya ia kembali kepada keadaan normalnya atau kepada rupa
biasanya), ia diharuskan dengan syarat bahan yang digunakan adalah
halal/suci dan tidak menyebabkan mudarat yang lebih besar dari kecacatan
yang sedia ada itu.
Adapun jika tujuannya semata-mata kecantikan,
ia dilarang kerana termasuk dalam mengubah ciptaan Allah dan melakukan
pembaziran tanpa perlu. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Allah
melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat
tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu
keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk
kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a.) Imam
Nawawi semasa mensyarahkan hadis di atas, beliau menegaskan; sabda Nabi
s.a.w. “perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan
cantik” menunjukkan bahawa yang diharamkan ialah bagi orang-orang yang
melakukan perkara tersebut (yakni mengubah gigi) untuk tujuan kecantikan
semata-mata. Adapun kerana keperluan iaitu untuk mengubati atau untuk
membaiki kecacatan pada gigi dan seumpamanya, maka diharuskan”. (Syarah
Soheh Muslim, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah). Kesimpulannya,
menyuntik vitamin C, Botox atau sebagainya jika tujuannya adalah untuk
membaiki kecacatan di kulit atau badan (seperti parut yang menjelekkan
pada pandangan orang lain dan menyukarkan penampilan diri), diharuskan
dengan syarat-syarat tadi. Adapun hanya semata-mata untuk menghias diri
seperti supaya kulit kelihatan lebih tegang, nampak lebih muda dan
sebagainya, tidak harus kerana ia mengubah ciptaan Allah, melakukan
pembaziran tanpa perlu dan mungkin juga menyebabkan pemalsuan/penipuan
(jika membabitkan orang lain).
Mengenai
pekerjaan menyuntik vitamin tersebut, ia kembali kepada tujuan tadi.
Jika pusat rawatan menjalankan rawatan mengikut skop yang diharuskan
oleh Syariat Islam, haruslah seorang muslim berkerja di situ. Jika ia
menjalankan rawatan hanya mengikut kehendak pelanggan, tanpa mengambil
berat ketetapan Syariat, tidak harus seorang muslim berkerja di situ
kerana gaji/upahnya berlegar di antara haram dan syubhah.
Tambahan:
1. Adapun berusaha mengekal kemudaan dan kecantikan kulit dengan
pemakanan (herba atau sebagainya), ia diharuskan kerana usaha itu
melalui proses semulajadi tubuh, bukan dengan melakukan sesuatu untuk
mengubah ciptaan Allah. Disyaratkan makanan itu halal dan tidak
memudaratkan. 2. Begitu juga diharuskan bahan-bahan kosmetik yang
bersifat luaran seperti bedak, krim dan sebagainya kerana sekalipun
berlaku perubahan pada kulit, ia bukan bersifat kekal di mana ia akan
tertanggal atau boleh ditanggalkan. Maka ia mengambil hukum mewarnai
rambut, bercelak dan berinai yang diharuskan dengan nas Syarak. Namun
disyaratkan bahan-bahan kosmetik itu suci dan tidak memudaratkan
tubuh/kulit. Wallahu a’lam.
|
Comments
Post a Comment